Wednesday, 10 May 2017

43. KEJUJURAN KITA

Menjadi orang jujur ​​bererti anda memilih untuk bersikap tidak berbohong, mencuri, menipu atau memperdayakan. Apabila kita jujur, kita membina kekuatan peribadi dan membolehkan kita untuk menjadi insan yang disenangi Tuhan dan orang lain.

Pada awal kehidupan, kita mengetahui bahawa ketidakjujuran mendapat untung jangka pendek sahaja. Ia boleh menyelesaikan masalah dengan cepat dan boleh mecapai tujuan kita.

Ia lebih mudah untuk menyenangkan orang di sekeliling kita dan kita semua memiliki tabiat sama cuma darjahnya sahaja yang berbeza. Malangnya, keuntungan jangka pendek itu membuahkan kerugian dalam jangka panjang.

Amalan kehidupan yang jujur ​​memerlukan usaha berterusan terutamanya pada peringkat permulaan. Ia memerlukan niat untuk memilikinya dan langkah-langkah awal harus dilakukan.

Apabila ia mula mendapat momentum dalam hidup anda dan anda mula menyedari banyak manfaatnya, kejujuran akan menjadi lebih mudah dan mengembirakan untuk diamalkan.

Ada empat kebaikan utama apabila kita jujur.

1- Kejujuran menarik kejujuran. Persahabatan dengan rakan menjadi lebih akrab kerana mereka tertarik dan menghargai kejujuran anda. Mereka merasa bangga dapat mendekati dan berkawan dengan orang jujur. Kawan-kawan yang jujur akan mencari orang jujur untuk didampingi. Anda di kelilingi oleh orang-orang terbaik dan dipercayai oleh orang lain. Orang jujur memiliki tahap keyakinan dan ​​kepercayaan diri yang tinggi. Merubah sikap daripada jujur kepada tidak jujur bermakna menghilangkan kekuatan dan keyakinan diri sendiri.

2 - Meningkatkan tahap kesihatan anda. Kejujuran telah dikaitkan dengan impak yang boleh mengurangkan selsema, keletihan, kemurungan dan kecelaruan. Ketidakjujuran perlu dielakkan. Ketidakjujuran memberi kesan sebaliknya yang boleh mengurangkan tahap kesihatan anda. Sepatah perkataan yang tidak jujur seperti ya atau tidak dalam sesuatu pengakuan dengan pihak tertentu boleh memberi kesan ketidaktenangan bertahun-tahun lamanya ke atas diri anda.

3 - Hubungan lebih harmonis. Tanpa kejujuran kata-kata seperti "I love you" tidak ada asas bagi hubungan yang berkekalan atau menyeronokkan. Perhubungan hanya sementara dan tidak berkekalan setelah diketahui luahan itu sebenarnya tidak jujur. Kejujuran adalah suara untuk cinta yang membina kepercayaan. Tanpa kejujuran menjadi satu pembohongan dengan sendirinya menghasilkan perhubungan yang jelek. Perhubungan kasih, sayang dan cinta lebih harmonis melalui kejujuran kita tanpa mengira siapa seperti kekasih, suami isteri dan keluarga, saudara mara dan rakan.

4 - Dapat mengelakkan kekeliruan. Apabila orang tidak mengetahui kebenaran, mereka akan cuba meneka. Ketidakjujuran ​​tentang sesuatu boleh menyebabkan orang ramai cuba memikirkan apa sebenarnya yang anda tidak nyatakan itu. Ini boleh mewujudkan gossip, yang kemudiannya boleh memupuk lebih pembohongan dan penipuan. Akhir sekali boleh menyebabkan lebih ramai orang berasa terluka dan dikhianati apabila kebenaran akhirnya terbongkar. Semuanya ini boleh dielakkan jika kejujuran telah digunakan pada awal-awal lagi.

Perhubungan atau persahabatan terbaik adalah kejujuran anda. Ia mungkin sukar untuk dilafaz dan boleh menimbulkan konflik tetapi percayalah dalam jangka panjang kejujuran memberi cukup banyak manfaat kepada diri anda dan orang lain.

42. MENDEKATI TUHAN

Semakin kita mengenali Allah dan mendekati-Nya lama kelamaan terbit rasa kecintaan sehingga sentiasa mahu melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Jika kita menghabiskan seluruh hidup kita memikirkan sifat-Nya, kita tidak akan berasa bosan malah kehidupan menjadi lebih ceria. Allah yang bersifat Maha Kuasa, Maha Penyayang, Maha Adil dan Maha Pengampun.

Apabila kita mendekatkan diri kepadaNya dengan tulus, Allah pun akan dekat dengan kita dengan tulus juga.

Sebaliknya, kitaA patut mempertimbangkan langkah kita dengan teliti sebelum mahu merapatkan diri dengan manusia. Jika kita terlalu dekat dengan manusia, kita akhirnya dipermainkan oleh manusia sehingga boleh menghilangkan darjat kita sebagai insan Tuhan.

Mencintai Allah tidak wujud perasaan takut akan kehilangan sesuatu bahkan boleh bertambah lagi rahmat dan nikmat daripada-Nya. Berbeza dengan mendekati dan merapati manusia boleh menjadikan kita sentiasa khuatir dan takut akan kehilangan sesuatu yang dikawal oleh manusia yang kita dekati itu.

Kita cintakan Allah kerana Dia adalah abadi di dunia dan akhirat.

Tuesday, 9 May 2017

41. SAAT UNTUK BERUBAH

Kalau kita sudah berkeluarga dan mempunyai beberapa orang anak tidak ada siapa yang berani berkata bahawa kesemua anaknya itu, 100 peratus berpuashati dengan kita. 

Kita jangan marah kepada mereka. Tanyalah pada diri sendiri kenapa mereka marah dan tidak berpuashati kepada kita.

Biasanya kita akan menemui jawapan dalam dua aspek:

Aspek pertama, mereka tak puas hati kerana kita sering nasihatkan supaya rajin belajar, buat kerja rumah, mengemas rumah, jangan bergaduh dengan adik beradik, jangan tinggalkan solat, menghormati orang tua, jangan membazir, jangan ponteng sekolah, jangan mengumpat, jangan cepat marah dan perkara-perkara yang memberi kebaikan kepada mereka.

Aspek kedua, mereka marah dan tak puashati dengan kita kerana kita suruh mereka rajin tetapi kita malas, kita suruh mereka jangan ponteng sekolah tetapi kita sering tuang kerja, kita suruh mereka jangan menbazir tetapi kita banyak habiskan wang untuk perkara yang tidak berfaedah, kita suruh mereka adil tetapi kita selalu pilih kasih atau bulu, kita suruh mereka jaga amanah tetapi kita selalu terima wang haram.

Jika disebabkan aspek pertama, kita tidak perlu berubah tetapi teruskan kerana apabila kita sudah tiada atau mereka sudah berkeluarga, kita akan diingati dan dihormati.

Akan tetapi jika disebabkan aspek kedua, kita perlu berubah supaya anak-anak kita akan menghormati kita sama ada sewaktu kita masih ada atau sebaliknya.

bagaimana pula kalau di pejabat atau organisasi  mana? Jawapannya adalah sama sahaja di mana-mana pun.

40. JANGAN MENGELUH

Seorang pemuda memberitahu seorang dewasa bahawa dia memiliki harta yang sedikit dan rezeki yang diterimanya hanya mencukupi untuk dia meneruskan kehidupan bersama keluarganya. 

Katanya lagi, rezekinya tidak semurah rezeki kawan-kawanya yang lain walhal usaha yang dilakukannya tidak jauh beza dengan mereka. 

Kawannya memiliki kereta Honda Accord sedangkan dia cuma ada Perodua Viva. Kawanya ada rumah teres dua tingkat, dia ada satu tingkat. Kawannya ada handphone Galaxy Samsung Note 4, dia ada CSL. Kawannya ada kasut joging Nike, dia ada kasut Bata.

Dan macam-macam lagi perkara yang dibuat perbandingan dengan teman-temannya itu. Banyak sangat keluhannya,

Setelah sekian lama orang dewasa itu mendengar dengan teliti apa yang diluah oleh pemuda itu maka ia pun bersuara, 

"Adakah kamu dapat membuka mata ketika kamu bangun dari tidur pagi tadi?." 

"Ya, saya dapat membuka mata saya dan seterusnya boleh melihat." Jawab pemuda itu.

"Tahukah kamu, ada orang yang tidak dapat membuka mata dan menjadi buta ketika bangun dari tidur. Dia terus dibawa ke hospital untuk berubat tetapi masih tidak berubah. Dia sanggup membayar walaupun berjuta ringgit (dia merupakan seorang jutawan) namun matanya sudah tidak dapat dipulihkan lagi oleh mana-mana doktor."

"Kalau macam itu, nilai mata saya yang dapat melihat ini adalah lebih daripada sejuta ringgitlah pakcik. Wang banyak pun, tentunya tak ada guna jika kita tak dapat melihat." Pemuda itu menerima penjelasan orang dewasa itu dengan perasaan yang terharu.

Sebab itu kita tidak boleh mengeluh dan mengatakan kita tidak ada rezeki kerana Allah sentiasa memberi kita rezeki yang melimpah ruah cuma dalam bentuk yang berbeza sahaja iaitu ada dengan cara wang ringgit dan ada pula dengan cara lain seperti sihat, ketenangan, kewarasan dan sebagainya.

Sunday, 7 May 2017

39. CARA KITA DINILAI

Tanpa disedari bahawa anda sedang dinilai oleh orang lain. Orang itu mungkin seorang pemimpin, pengurus, ketua, anak buah, rakan, ibu bapa, suami, isteri atau keluarga anda. Bagaimanakah cara yang sering digunakan untuk menilai anda. Pada umumnya terdapat tiga cara.

Pertama, kompetensi. Antaranya seperti berpengetahuan, berkemahiran, berpelajaran, bijak dan cekap dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Kedua, nilai-nila moral. Anda hendaklah memiliki dan mengamalkan nilai-nilai moral yang tinggi seperti amanah, ikhlas, beriman, taqwa, integriti, jujur, tidak melakukan maksiat seperti berzina, judi atau minum arak.

Ketiga, perhubungan. Ia meliputi hubungan interpersonal antara anda dengan seseorang seperti sering bertanya khabar, aktif dalam aktiviti yang dianjurkan untuk masyarakat atau organisasi, sentiasa hadir apabila dijemput ke majlis kenduri, kesyukuran atau perkahwinan.

Jika anda ingin dipandang tinggi dan disenangi serta mudah dinaikkan pangkat (jika anda merupakan seorang pekerja) maka anda perlulah memiliki dan mengamalkan ketiga-tiga elemen di atas.p

38. TERUSKAN USAHA

Untuk mendapat sesuatu yang kita inginkan tidaklah mudah seperti yang kita sangka. Kita selalu nampak orang berjaya dalam bidang tertentu seperti menjadi usahawan dalam bidang menjual beras, kita pun nak berniaga beras supaya dapat berjaya seperti usahawan itu. Sebenarnya kalau kita mendampinginya barulah kita tahu bahawa sebelum berjaya ke tahap itu ia telah berusaha berterusan tanpa henti dan pernah mengalami beberapa kali kegagalan. Akan tetapi oleh kerana ingin berjaya, ia terus berusaha tanpa mengenal putus asa.

Semakin banyak kita gagal sebenarnya semakin banyak kita mendapat pengalaman. Jika kita gunakan pengalaman-pengalaman itu sudah pasti kejayaan yang bakal kita kecapi adalah tinggi atau besar.
Berapa banyak kegagalan yang kita alami janganlah kita melihat sebagai kelemahan tapi hendaklah dilihat sebagai kekuatan.
Umur pula bukan menjadi ukuran untuk berjaya asalkan kita berusaha dan terus berusaha. Sekarang kita tidak hairan lagi mendengar cerita bahawa mereka yang berumur 20 an sudah berjaya mendapat pendapatan bulanan melebihi RM30,000.00 bahkan ramai sudah bergelar jutawan.
Mereka berjaya bukan kerana nasib tetapi kerana mereka sanggup berusaha dan terus berusaha berbanding dengan mereka yang tidak berjaya adalah kerana mereka tidak mempunyai kekuatan untuk terus berusaha dan akhirnya mereka ditinggalkan oleh orang yang terus berusaha.

Thursday, 20 April 2017

37. BERANI BERTANGGUNGJAWAB

Berani buat berani tanggung. Ini termasuklah dalam membuat keputusan. Bila kita membuat sesuatu keputusan kita perlu menanggung akibat daripada keputusan yang telah kita buat dan tidak kiralah sama ada keputusan itu betul atau salah.

Janganlah kita hanya boleh menerima dan rasa berbangga apabila keputusan yang kita buat itu ternyata betul dan baik. Contohnya kita melantik seorang staf untuk menguruskan misi untuk menawan Gunung Everest. Ia dapat melaksanakan misi dengan jayanya dan kita pun gembira kerana telah membuat keputusan yang tepat.

Berlainan pula jika keputusan yang kita buat itu tidak memihak kepada kita atau hasilnya merugikan. Katakan kita memutuskan untuk membuka sebuah restoran masakan Arab di Semenyih. Setelah setahun perniagaan dijalankan ternyata hasilnya merugikan. Kita seharusnya menerima kenyataan itu dengan hati yang terbuka dan tidak perlu menuding jari atau menyalahkan orang lain pula seperti pihak atasan, anak buah, isteri atau suami. 

Berani buat beranilah kita tanggung biar pun hasilnya mengecewakan.

36. KEJAYAAN PADA BILA-BILA MASA

Biasanya kita akan meraikan kejayaan dgn perasaan gembira apabila berhasil mencapainya. 

Kejayaan yg kita raikan itu adalah berdasarkan kejayaan yg ditetapkan oleh pihak lain spt masyarakat dan negara.

Contohnya berjaya dlm peperiksaan, sukan, kerjaya, percintaan, bisnes atau penganugerahan.

Untuk mencapai sasaran itu kita terpaksa menunggu masa yg lama dan belum tentu lagi semuanya akan berhasil. Jika inilah yg kita tunggu bererti dlm setahun hanya berapa kali shj yg dapat menikmati kejayaan dan kegembiraan. Itu pun kalau berhasil.

Sebenarnya kita tidak perlu menunggu kejayaan yg dicipta oleh pihak lain sehaja tetapi kita juga boleh menciptakan sendiri kejayaan. Antaranya spt amanah. Katakan kita merupakan seorang pegawai tinggi dlm sebuah agensi kerajaan. Kita berdepan dgn dua pilihan iaitu sama ada menaikkan pangkat staf yang layak tetapi mempunyai hubungi peribadi yg kurang baik dgn kita atau staf yg tak layak tetapi mempunyai hubungan peribadi yg baik dgn kita.

Katakan kita berjaya membuat keputusan yg tepat walau pun berat iaitu kita memilih staf yg layak. Hasilnya kita meraikan kejayaan itu.

Contoh lain spt kita berhasil mengemas rumah, membaca atau menulis buku, masak makanan yg sedap, membaiki kereta yg rosak dan sebagainya. 

Setiap kali kita berjaya kita boleh raikan bersama keluarga atau kawan-kawan. Kita boleh perbanyakkan kejayaan yg kita cipta sendiri dan tidak perlu menunggu kejayaan ciptaan pihak lain yang mengambil masa yg lama.

Melalui cara ini kita mampu mencipta kejayaan setiap hari atau minggu atau bulan. Setiap kejayaan itu kita boleh raikan mengikut kemampuan kita sendiri. Kita akan dapat merasakan kebahagiaan setiap kali kita meraikan kejayaan.

Kenapa kita perlu meraikan kejayaan setahun sekali atau sehari drp 365 hari pada hal kita boleh melakukannya sebanyak lebih drp 50 kali dlm setahun untuk membahagiakan diri kita.

35. MENCARI JALAN ATAU ALASAN

Pepatah Melayu mangatakan, "Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih."

Daya bermaksud jalan dan dalih bermakna alasan. Cuba anda ingat kembali tentang sikap diri anda sendiri pada masa yang lalu iaitu adakah anda tergolong dalam kumpulan orang yang suka mencari jalan atau alasan apabila melakukan sesuatu.

Sekiranya jawapan anda adalah sentiasa mencari jalan bererti anda harus mengekalkanya secara berterusan. Amalan ini sangat baik kerana ia merupakan ciri yang paling utama untuk anda menjadi seorang yang berjaya dan bahagia.

Orang yang suka mencari jalan akan sentiasa melakukan apa sahaja yang baik untuk memenuhi segala cita-cita atau matlamat atau janji yang telah ditetapkan. Setiap halangan atau masalah yang timbul akan dicari jalan untuk mengatasinya demi mencapai matlamat atau janji yang telah ditetapkan.

Berlainan pula dengan sikap orang yang suka mencari alasan. Ia sentiasa mencari pelbagai alasan apabila tidak berjaya mencapai sesuatu matlamat atau janji yang ditetapkan. Ia akan menjadikan alasan itu sebagai sesuatu yang boleh diterima oleh dirinya sendiri atau orang lain yang terlibat itu. Sikap seperti ini harus diubah dengan segera kerana tanpa disedari ia bukan sahaja akan menjadi penghalang utama untuk anda berjaya bahkan juga ditakuti anda akan menjadikannya sebagai amalan hidup.

Anda harus ingat bahawa tidak ada orang yang berjaya kerana bersikap mencari alasan tetapi sejarah telah membuktikan mereka yang berjaya adalah orang yang sentiasa mencari jalan untuk mencapai matlamat atau janji yang telah ditetapkan. 

34. JAUHKAN MAKSIAT

Anda mungkin boleh termenung sesudah  melakukan sesuatu perkara yang baik atau sebaliknya. Perkara tersebut adalah berkaitan dengan wanita. Katakan anda telah keluar dengan seorang teman wanita berduaan pada waktu malam. Pada masa itu anda berpeluang untuk melakukan apa sahaja terhadap teman wanita anda kerana ia sudah memberi kerelaan kepada anda. Walau pun berpeluang namun anda tetap tidak mengambil kesempatan. Setelah belanjanya makan, masing-masing pulang ke rumah.



Ketika anda berbaring di atas katil untuk tidur anda langsung termenung dengan meletakkan tangan di atas dahi lantas teringat peristiwa bersama teman wanita tadi sambil berkata, "Kenapakah aku tidak mengambil kesempatan meniduri teman wanitaku tadi, lagi pun aku boleh bertaubat jika aku terlanjur". Tanpa disedari anda pun terlena dibuai mimpi.


Itu merupakan salah satu termenung tetapi ada lagi sejenis termenung yang boleh terjadi pada anda iaitu katakan apabila anda keluar bersama teman anda tadi anda telah meniduri dan melakukan keterlanjuran terhadapnya. 

Sstelah anda barada di rumah dan ketika hendak tidur, anda terus meletakkan tangan di atas dahi sambil termenung dan berkata, "Kenapakah aku melakukan perkara yang terkutuk itu". Kemudian anda pun tertidur.



Antara kedua-dua jenis termenung itu, mana satukah yang lebih bagus. Sudah tentu jawapan adalah termenung yang awal kerana biarlah kita menyesal kerana tidak melakukan maksiat daripada menyesal akibat melakukannya.

Wednesday, 19 April 2017

33. BERBAKTI KEPADA IBUBAPA

Kita selalu sanggup menghabiskan wang untuk memenuhi keperluan diri sendiri, isteri, anak-anak, teman wanita atau boss tetapi jarang di kalangan kita yang sanggup menghabiskan sebanyak itu untuk ibubapa.

Setiap kali apabila ibubapa memerlu sesuatu setiap kali itulah kita mempunyai pelbagai alasan sedangkan jika untuk pihak yang seperti disebutkan di atas maka tidak ada pula alasan yang timbul bahkan sanggup bergadai atau berhutang bagi memenuhi kehendak mereka itu.

Cuba anda ingat kembali beberapa tahun yang lepas bahawa berapa kalikah anda sanggup menghabiskan wang untuk ibubapa berbanding dengan yang lain. Kita percaya pemberian kepada ibubapa hanya sedikit sahaja.

Anadaikan itulah sikap kita, cubalah kita ubahkan dengan memberi keutamaan kepada ibubapa pula. Apabila kita boleh berubah, nesacaya selepas itu anda akan dapat merasakan perubahan dalam hidup anda iaitu daripada seorang susah kepada senang, sedih kepada gembira, kurang wang kepada murah rezeki atau daripada stress kepada tenteram. Itulah rahsia kebaikan apabila kita berbakti kepada kedua ibubapa.

32. TERBAIK BUKAN TERTINGGI

Seringkali kita memohon doa untuk mendapatkan sesuatu yang lebih tinggi atau tertinggi. Doa seperti itu tidaklah menjadi suatu kesalahan tetapi anda harus ingat bahawa memiliki yang tertinggi itu belum pasti lagi merupakan yang terbaik. 

Lebih baik kita mendoakan untuk mendapatkan sesuatu yang terbaik walaupun kadang-kadang kita tidak berjaya apa yang kita hajati seperti jawatan yang lebih tinggi atau harta kekayaan tetapi sebenarnya yang kita tidak perolehi itulah merupakan yang terbaik untuk kita.

Buat apa jika kita mendapatkan sesuatu yang tertinggi itu membuat kita menjadi seorang yang sombong, riak, takbur, tidak memperdulikan keluarga, lupa daratan, tidak beramanah, suka menganiayai orang lain, salah guna kuasa, tidak berintegriti, tidak adil, pendendam, melakukan maksiat atau sakit.

Kita harus sentiasa positif dengan penentuan-penentuan yang kita terima setelah segala usaha telah dilakukan. Allah berfirman yang bermaksud, 

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Al-Baqarah: Ayat 286).

"Apa saja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorang pun yang dapat menahannya. Dan apa saja yang Allah tahan, maka tidak seorang pun yang sanggup untuk melepaskannya sesudah itu." (Fathir: Ayat 2).

31. TIDAK PUTUS ASA

Memiliki dan mengamalkan sifat yang tidak berputus asa bermakna anda sudah disifatkan sebagai orang yang berjaya.

Biasanya orang yang tidak mudah berputus asa akan sentiasa berhadapan dengan pelbagai halangan dan cabaran tetapi disebabkan oleh sikapnya yang tidak pernah mengenal putus asa akhirnya ia berjaya. Dia percaya dengan hanya menunggu beberapa langkah atau detik sahaja lagi kejayaan sudah berada di hadapan.

Alangkah ruginya jika kita berputus asa dengan menghentikan usaha sedangkan tanpa kita sedari bahawa kita sudah berjaya melakukannya sebanyak 90 peratus dan kejayaan sedang menanti anda hanyalah tinggal 10 peratus sahaja lagi. Akan tetapi disebabkan oleh sifat berputus asa akhirnya kita tidak berjaya dan menjadi orang yang rugi.

Untuk tidak berputus asa kita perlu mengamalkan sifat-sifat seperti sabar, yakin akan berjaya walau pun mengambil masa yang lama, berani menghadapi kegagalan berkali-kali, belajar melalui kegagalan lampau, percaya bahawa kejayaan atas kebenaran merupakan kejayaan yang sejati dan sentiasa mematuhi ajaran agama.

Antara tokoh terkenal yang berjaya hasil daripada sifat yang tidak berputus asa ialah Thomas Edison (1847-1931). Beliau berjaya mencipta mentol lampu setelah menempuh kegagalan melebihi 1000 kali.

Contoh kedua ialah Khalid Al Walid (592-642). Beliau merupakan panglima tentera kerajaan Islam yang berjaya mengalahkan pasukan tentera yang sangat digeruni oleh pihak lawan iaitu Byzantine dan Parsi dalam masa tiga tahun sahaja. Walau pun beliau pernah dilucutkan oleh Khalifah Omar sebagai ketua atau panglima namun Khalid tetap berjuang sebagai prajurit biasa tanpa berputus asa sehingga kemenangan sentiasa berpihak kepada pasukannya.

Apabila ditanya oleh sahabatnya kenapa beliau tidak menentang keputusan Khalifah Omar, beliau menjawab, “Aku berjuang kerana Allah, bukan kerana Omar”.

30. SIFAT SEMULAJADI PEMIMPIN

Setiap orang dilahirkan memiliki sifat asal atau semula jadi positif atau negatif. Anda harus mengenal sifat diri anda sendiri sama ada positif atau negatif. Jika anda memiliki lebih banyak sifat positif berbanding dengan negatif, anda hendaklah mengekalkan sifat-sifat itu dan jika sebaliknya maka anda hendaklah memperbaikinya supaya anda memiliki lebih banyak bersifat positif. Anda boleh tanya diri sendiri tentang sifat anda seperti di bawah:

a) Rajin atau pemalas

b) Berterus terang atau pemendam

c) Penderma atau peminta 

d) Pemurah atau kedekut

e) Pendendam atau pemaaf

f) Tenang atau pemarah 

g) Jujur atau pembohong

h) Berani atau penakut

i) Peramah atau pendiam

j) Ikhlas atau pembodek

k) Amanah atau pengambil kesempatan

l) Disiplin atau sambil lewa

Apabila anda sudah menjadi pemimpin sama ada pemimpin kecil atau besar, anda tidak boleh membawa atau mengamalkan sifat-siat asal anda yang negatif ke dalam lingkungan kepimpinan anda. Anda harus meninggalkan segala sifat negatif itu supaya orang yang berada di bawah kepimpinan anda dapat merasakan ketenangan, keseronokan bekerja dan keadilan kerana mereka percaya jika anda masih tetap dengan sifat asal yang negatif, mereka akan menjadi resah, gelisah, tidak seronok bekerja dan akan menuduh anda tidak adil.

Pemimpin yang tidak adil bukan sahaja tidak dapat diterima oleh manusia tetapi juga dibenci oleh Allah. Apabila Allah sudah benci dengan sifat anda dan anda masih juga tidak mahu berubah maka lambat laun anda akan menerima balasan daripadaNya sama ada di dunia atau akhirat.



29. PERASAAN KITA KEPADA TUHAN

Apa beza apabila anda memegang anak sendiri (anak kecil yang berumur 7 tahun ke bawah) dengan anak orang lain?

Tentunya perasaan (feeling) anda akan berbeza. Jika anak sendiri, biasanya anda akan mempunyai perasaan seperti kasih, sayang, mesra, seronok dan sentiasa ingin bersamanya. Ini berbeza jika anak orang lain biasanya anda tidak ada perasaan seperti anak sendiri. Memang anda kelihatan sangat gembira semasa ketika merangkul anak orang lain tetapi adakah dalam hati anda itu sedemikian rupa? Mungkin belum tentu sama seperti yang anda tunjukkan di depan ibu bapa mereka.

Apabila anda tak ada feeling, anda kurang atau tak akan peduli dengan anak orang lain. Berlainan dengan anak sendiri yang anda ada feeling yang tinggi, anda begitu peduli dan sangat sensitif dengan keperluannya. Sanggup laku apa sahaja demi keperluan anak anda.

Bagaimana pula dengan solat? Sudahkah anda mempunyai feeling dengan Allah seperti kasih, sayang, gembira dan sentiasa ingin mendekatiNya kerana walau pun anda sentiasa bersolat sama ada di rumah atau di masjid anda mungkin buat sekadar buat sahaja disebabkan adat, ikutan atau disuruh oleh ibu bapa atau kerana orang lain buat.

Jika belum bererti anda masih belum dapat melakukan perubahan untuk menjadikan diri anda lebih baik kerana anda tidak ada feeling kepada Allah. Anda bersolat tetapi kerana tiada feeling maka anda tidak sensitif dengan suruhan dan larangan daripada Allah seperti mana anda tak ada feeling terhadap anak orang lain!

Berusahalah supaya anda dapat mewujudkan feeling dan setelah berjaya memperolehinya, anda tidak sukar lagi untuk berubah menjadi insan sentiasa mematuhi segala suruhan dan meninggalkan segala larangan daripada Allah.

28. KESAN YANG BERPANJANGAN

Dalam bulan Ramaan tanggal 24 Oktober 2004 ketika umat Islam bergembira melaksanakan Rukun Islam ketiga tiba-tiba dikejutkan dengan Peristiwa Berdarah Takbai, Selatan Thailand yang menyebabkan 78 penduduk Melayu Islam mati ditembak oleh pihak berkuasa Thailand dan juga disebabkan sesak nafas semasa dalam trak tentera yang penuh sesak dengan longgokan manusia yang bertindih-tindih dan bergari. 

Bagaimanapun kerajaan Thailand ketika itu di bawah kepimpinan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra memutuskan bahawa tidak terdapat sesiapa pun yang bersalah dalam kejadian tersebut.

Thaksin memberi sokongan penuh kepada di atas tindakan tentera dan kenyataan pertamanya ialah, "...kesemua 78 orang mati akibat mereka sudah pun lemah akibat berpuasa semasa bulan Ramadhan." (Sumber: Wikipedia) 

Ekoran daripada kejadian tersebut telah timbul beberapa kesan seperti berikut,

a) Imej Kerajaan Thailand terutamanya Thakin Shinawatra rosak.

b) Tsunami yang melanda Acheh, Indonesia pada 26 Disember 2004 turut memberi kesan kepada Thailand menyebabkan rakyatnya kehilangan nyawa seramai kira-kira 8200 orang.

c) Dalam pilihanraya umum pada Februari 2005, semua 11 kerusi parlimen parti Thaksin, Thai Rak Thai (TRT) tewas di Narathiwat, Yala dan Pattani walau pun TRT menang besar dalam pilihanraya itu. 

d) Thaksin digulingkan oleh tentera pada 19 September 2006 dan lari meninggalkan Thailand sehingga kini pada 29/7/2012.

e) Tindak balas orang Islam dengan melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan dan pihak-pihak tertentu sejak dari peristiwa itu sehingga kini pada bulan Julai 2012 adalah dianggarkan seramai kira-kira lima ribu orang sudah terkorban. 

Kita boleh lihat bahawa apabila sesuatu tindakan yang dilakukan secara tidak rasional dan tidak berperi kemanusiaan maka kesannya akan berpanjangan bermula daripada waktu tindakan tersebut sehinggalah suatu waktu yang kita tidak pastikan bilakah ia benar-benar akan berakhir. Ia mungkin sekejap atau bertahun-tahun lamanya.

Reaksi orang yang tertindas atau mangsa tidak akan berhenti begitu sahaja dan selagi ia tidak melihat sendiri hukuman atau balasan yang berlaku kepada penindas selama itulah ia akan memberi kesan yang berpanjangan. Mangsa mempunyai reaksi yang berbeza iaitu seperti berikut:

a) Ia dapat melupakan kejadian itu dan menerimanya dengan redha dan sabar. 

b) Ia tidak akan melupakan tetapi menerimanya dengan redha dan sabar.

c) Ia tidak akan melupakan dan tidak akan memaafkan penindas tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan ke atasnya.

d) Ia tidak akan melupakan, tidak akan memaafkan dan mahu penindas dikenakan tindakan melalui undang-undang.

e) Ia tidak akan melupakan, tidak akan memaafkan dan sentiasa menunggu agar sesuatu akan berlaku ke atas penindas sama ada dari segi undang-undang atau balasan Tuhan.

f) Ia tidak akan memaafkan, tidak akan melupakan dan akan melakukan tindak balas secara sendiri atau kumpulan atau pertubuhan kecil atau besar termasuk antarabangsa.

Kebanyakan orang yang sukar melupakan sesuatu kejadian biasanya yang melibatkan maruah, kecederaan, kemusnahan dan kematian. Kesan bukan hanya berlaku terhadap seorang individu sahaja bahkan melibatkan anak, isteri, rakan, pekerja dan masyarakat. Sebab itu setengahnya pula tidak akan puas selagi tidak berlaku sesuatu yang setimpal dengan tindakanya selaku penindas.

Perlulah kita ingatkan bahawa sebelum kita melakukan sesuatu tindakan ke atas seseorang kita hendaklah berfikir dengan mendalam akan kesan daripada tindakan kita itu sebagaimana reaksi penduduk Islam Thailand terhadap Peristiwa Takbai 2004!





27. MENYELESAIKAN MASALAH

Setiap orang tidak dapat lari daripada menghadapi masalah sama ada kecil atau besar. Setelah masalah sendiri dapat diselesaikan kadang-kadang timbul pula masalah orang atau pihak lain yang memerlukan anda selesaikan misalnya masalah anak, isteri, keluarga, jiran, pekerjaan, perniagaan, organisasi, masyarakat dan negara.

Anda mungkin dapat menyelesaikan masalah dengan cepat atau lambat atau pun senang atau sukar. Sekiranya anda dapat menyelesaikan masalah dengan cepat, apa yang anda harus lakukan ialah dengan bersyukur dan sebagai tanda syukur anda digalakkan memberi sumbangan atau menderma kepada orang atau pihak yang memerlukan bantuan walau pun sedikit.

Jika anda tidak mampu menyelesaikan masalah dengan segera dan mendapati sukar untuk mengatasinya anda boleh menggunakan cara seperti berikut:

a) Kenalpasti masalah

b) Berdoa kepada Tuhan memohon petunjuk dan jalan penyelesaian

c) Muhasabah diri dan menetapkan matlamat

d) Solat hajat

e) Memilih model cara-cara penyelesaian masalah yang sesuai, contohnya Analisis SWOT; Rajah Ishikawa; 5 Whys; Mind Mapping Tony Buzan; TEACH John Maxwell; dan sebagainya.

f) Membuat penilaian dan penambahbaikan

g) Bersyukur apabila selesai

Menyelesaikan masalah merupakan usaha yang perlu anda lakukan supaya ia tidak memberi kesan yang tidak baik kepada anda seperti sedih, dukacita, stress dan murung. Daripada kesan tersebut pula anda mungkin akan menghadapi masalah kesihatan seperti sakit kepala, demam dan terdapat juga sehingga ke tahap yang tidak rasional seperti mencedera atau membunuh diri.

Anda digalakkan berusaha mengatasinya dan sesungguhnya Allah yang bersifat pemurah dan penyayang pasti akan bersama orang yang bertaqwa, beriman dan sesiapa sahaja yang memohon pertolonganNya.

26. BERSIKAP AMANAH

Amanah bererti kepercayaan yang diletakkan ke atas seseorang. Kepercayaan itu merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seseorang. Terpulanglah kepada anda untuk melaksanakan kepercayaan atau tanggungjawab tersebut dengan sepenuh hati atau sebahagian atau tidak melakukannya. 

Bagi orang yang melaksanakan amanah dengan sepenuh hati, kehidupan mereka adalah tenang dan tenteram. Ia tidak merasa bimbang atau takut malah dapat tidur dengan nyenyak pada setiap masa. Hari-hari yang dilaluinya begitu lancar dan tidak selaputi oleh kerisauan dan kekhuatiran. Mereka mampu berjenaka dan bergelak ketawa bersama keluarga atau rakan-rakan.

Ini berbeza dengan orang yang tidak beramanah. Fikiran mereka sering resah dan gelisah. Semakin banyak ketidak amanahan yang dilakukan olenya maka semakin tinggilah pula kebimbangan dan ketidaktenteraman yang dihadapinya. Setiap kali hendak tidur, setiap kalilah pula menghadapi masalah untuk melelapkan mata kerana sentiasa terbayang apakah akan terjadi pada diri dan keluargannya jika satu hari nanti  kegiatannya yang tidak beramanah itu dapat diketahui oleh pihak berkuasa seperti SPRM atau lain-lain.

Ingatlah bahawa setiap apa yang kita lakukan sama ada baik atau tidak pasti akan medapat hasil yang sama iaitu baik akan menghasilkan yang baik dan yang tak baik akan menghasilkan yang tidak baik.

Setiap anggota kerajaan mempunyai tanggungjawab yang besar. Mereka bertanggungjawab melaksanakan amanah rakyat dengan sebaik mungkin. Gaji mereka dibayar oleh rakyat melalui pembayaran pelbagai cukai. Setiap tugas yang ditetapkan hendaklah dilaksanakan dengan sempurna. Mereka tidak boleh malas, ponteng kerja, tidak buat kerja, curi tulang, bertugas luar tanpa tujuan yang jelas, rasuah, campur tangan dan mempengaruhi dalam urusan sebut harga atau tender dan sebagainya. Tugas dan tanggungjawab merupakan satu amanah. Jika gaji kita RM5000.00 sebulan maka anda hendaklah melaksanakan tugas sepadan dengan gaji anda bahkan bekerja lebih banyak daripada gaji adalah lebih baik. Kita merupakan orang yang tidak beramanah jika anda bekerja kurang daripada gaji anda.

Setiap lebihan sen dan ringgit yang anda makan dan minum tidak akan dihalalkan rakyat selaku pembayar cukai. Kadangkala kita tidak sedar akibat wang haram yang kita guna atau makan perlahan-lahan menjadi darah daging kita dan keluarga kita. Lama kelamaan pelbagai musibah dan bala yang terkena terhadap kita atau keluarga.

Cara yag terbaik dan selamat dalam meniti kehidupan ialah sentiasa bersikap beramanah dalam apa jua tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepada kita. 

25. ILMU BODEK

Definisi ilmu dalam bahasa yang mudah ialah pengetahuan. Berilmu bererti memiliki pengetahuan. Untuk mendapatkan ilmu memerlukan usaha yang berterusan bermula sejak dari zaman kanak-kanak, remaja, dewasa hinggalah menjadi warga emas atau sampai ke liang lahat.

Orang yang berilmu mudah mempengaruhi orang yang kurang ilmu. Ilmu yang dimilikii boleh jadi memberi kebaikan atau membawa keburukan. Dalam sistem pendidikan kebanyakan negara, markah yang cemerlang dalam peperiksaan dikira sebagai ukuran untuk menentukan seseorang itu berilmu atau tidak. Bagi mereka yang berilmu akibat mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang lebih mudah untuk mendapat pekerjaan berbanding dengan mereka yang ketinggalan dalam peperiksaan.

Persoalan timbul dan menjadi perbahasan hangat ialah adakah dengan memiliki ilmu semata-mata menjadikan seseorang itu lebih baik daripada mereka yang kurang berilmu? Ada pendapat mengatakan bahawa memiliki ilmu semata-mata tidak mencukupi jika tidak disertakan dengan amal dan iman. Ini kerana kita dapat lihat betapa ramainya orang yang berilmu tetapi tidak beramal dan beriman, akhirnya menjadi manusia yang penuh dengan sifat-sifat buruk yang akhirnya menyusah dan merosakkan keluarga, organisasi, masyarakat dan negara.

Ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu untuk kebaikan atau melahirkan sifat-sifat baik dan ilmu untuk kejahatan atau melahirkan sifat-sifat buruk. Ilmu untuk kebaikan seperti amanah, ikhlas, jujur, benar, setia kawan dan lain-lain. Manakala ilmu yang melahirkan sifat-sifat buruk pula seperti rasuah, dengki, dendam, khianat, bodek dan lain-lain.

Dalam banyak-banyak ilmu, ada satu ilmu yang jarang diperbahaskan dalam seminar atau forum iaitu ilmu bodek.

Bodek merupakan sifat negatif yang digunakan untuk kepentingan diri sendiri. Biasanya bodek digunakan untuk kenaikan pangkat akibat persaingan dengan staf lain. Orang yang suka bodek mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

a) Gila pangkat atau kuasa
b) Tinggi ilmu bodek dan rendah ilmu lain
c) Tidak yakin pada diri sendiri
d) Menggunakan orang lain atau isteri/suami memberi hadiah atau membantu boss
e) Tamak
f) Sampai hati atau sanggup menjatuhkan kawan

Bodek tidak dapat diterima oleh masyarakat kerana ia merupakan tindakan yang tidak jujur dan boleh  menjejaskan orang lain yang lebih layak. Kita juga boleh mengatakan bahawa bodek merupakan salah satu unsur rasuah halus atau tersembunyi kerana melalui perbuatan tersebut kita tidak dapat mengambil tindakan disebabkan tiada undang-undang yang bertulis untuk menuduhnya melakukan rasuah atau salah laku.

24. SEPAKAT MEMBAWA BERKAT

Sepakat membawa berkat.


Ini merupakan kata-kata pujangga sejak dahulu sampai sekarang. Dalam pengurusan kualiti menyeluruh (TQM), salah satu prinsipnya ialah semangat berpasukan dan konsepnya agak sama dengan sepakat membawa berkat. Sebatang lidi tidak akan mampu digunakan untuk menyapu sampah sarap di halaman rumah kita tetapi apabila ia digabungkan menjadi seberkas lidi, seluruh halaman dapat kita bersihkan. Begitu juga dengan sebatang jari tidak akan mampu memegang sudu untuk menghirup sup kerana ia memerlukan lima jari setiap tangan. Sepuluh jari jugalah digunakan untuk mempertahankan serangan daipada musuh sama ada seorang individu atau kumpulan. Musuh akan dapat menyerang dengan mudah sekiranya mereka mengetahui terdapat beberapa jari yang tidak dapat berfungsi dengan baik.

Demikian juga sebuah organisasi yang mempunyai tahap perpaduan yang tinggi di kalangan semua peringkat pekerja atau staf akan menyukarkan pihak musuh untuk menyerang kerana mereka bimbang dengan serangan balas yang mampu dilakukan oleh organisasi tersebut. 

Bagi organisasi yang kurang peka dengan kepentingan pekerja mereka, boleh menyebabkan organisasi tidak kuat dan lemah. Ini memudahkan musuh mengambil kesempatan dan meyerang mereka. Serangan berlaku tidak semestinya dalam bentuk peperangan antara satu pasukan tentera dengan satu pasukan tentera yang lain. Ia boleh berlaku dalam apa jua organisasi sama ada keselamatan, awam, swasta, sukarela atau sukan.

Musuh yang menyerang tidak semestinya berupa musuh yang nyata tetapi juga yang tidak nampak. Jenis musuh adalah tidak menentu seperti pesaing produk atau perkhidmatan, akhbar yang mencari kesempatan untuk melariskan jualan bagi mempertingkatkan keuntungan atau pertubuhan yang peka kepada kepentingan masyarakat. 

Pemimpin yang berpandangan jauh akan menilai sejauh manakah hubungannya dengan bawahannya dan hubungan bawahan sesama bawahan. Sekiranya didapati hubungan di tahap yang memuaskan atau baik, ia akan terus mengekalkannya. Akan tetapi jika didapati tahap hubungan begitu teruk maka usaha-usaha yang gigih termasuk transformasi bagi mengukuhkan hubungan tersebut. 

Sejarah telah membuktikan mana-mana kerajaan termasuk Empayar Mongol yang mempunyai nama yang terkenal seperti Genghis Khan dan Kublai Khan, akhirnya jatuh disebabkan oleh perpecahan yang berlaku di dalam empayar itu sendiri. Ada pendapat yang menyatakan bahawa, Mongolians are good conquerors, but crappy administrators (Orang Mongol adalah penakluk yang baik, tetapi pentadbir yang buruk sekali).



23. SEDIH TIDAK MENGENAL SIAPA

"Saya sedih khidmat ditamat lebih awal", kata mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Abu Bakar Abdullah mengesahkan kepada pemberita bahawa beliau tidak bersara tetapi perkhidmatannya dalam kerajaan ditamatkan. 

"Saya dan keluarga masih bersedih dengan keadaan ini. Memang saya bukan bersara tetapi ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa pada 1 Julai 2012, saya menerima surat memaklumkan penamatan perkhidmatan saya. Cukuplah komen saya setakat ini. Saya dan keluarga saya masih bersedih dan tidak mahu tersalah membuat kenyataan," katanya kepada akhbar Berita Harian pada 30 Jun 2012.

Dalam Facebook bertarikh 1 Julai 2012, Abu Bakar menulis, "Jumaat 30 Jun 2012 bersamaan 10 Syaaban 1433H merupakan hari dan tarikh yang amat bermakna bagi saya. Sepanjang tempoh masa tersebut saya melihat dan mengalami sendiri perubahan yang berlaku dalam perkhidmatan awam dan amat berbangga dengan sumbangan dan pencapaian semua yang terlibat. Hari ini merupakan hari terakhir saya sebagai KPPA, menandakan tamatnya perkhidmatan saya selaku penjawat awam, setelah berkhidmat hampir 35 tahun.

Sedih tidak mengenal siapa sama ada kita merupakan orang bawahan atau atasan, orang miskin atau kaya, orang yang bertatus rendah atau tinggi. 

Kesedihan adalah berpunca daripada dua faktor utama. Pertama, berpunca daripada perbuatan diri kita sendiri sebelum kita ditimpa kesedihan atau musibah. Mungkin sebelum ini tindakan yang kita telah lakukan menyebabkan orang lain menderita atau sedih. Akibat daripada kesedihan itu kemungkinan ada di kalangan mereka yang mendoakan agar kita juga pada suatu hari nanti akan menerima nasib yang sama dan tidak mustahil Allah memperkenankan doa mereka kerana Allah berfirman, 

“Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menederita apabila ia berdoa kepadanya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang Tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit antara kamu yang mengingati (nikmat Allah).” (Surah Al-Naml: Ayat 62)

Sekiranya kita bersedih akibat daripada kesilapan kita sendiri pada masa yang lampau, kita hendaklah menerimanya dengan redha, sabar dan tabah. Dalam masa yang sama kita harus menilai semula diri kita dan memperbaikinya serta bertaubat dengan sesungguh hati. Mungkin setelah kita menerima balasan dalam bentuk cash itu di dunia, hidup kita menjadi lebih tenteram dan bahagia. Jadi kita harus bersyukur kerana Allah masih memberi peluang kepada kita untuk menjadi seorang insan yang beriman.

Keduanya adalah berpunca bukan daripada kesilapan diri kita sendiri. Kesedihan seperti ini merupakan satu dugaan kepada kita bagi menguji keimanan kita. Jika kita berjaya melepasi segala ujian dan musibah itu dengan penuh keredhaan, kesabaran dan ketabahan maka kita akan mendapat kerahmatan dan kebaikan daripada Allah yang tidak terduga oleh kita.


Tuesday, 18 April 2017

22. KEKUATAN FIZIKAL

Dalam bulan April 2012 satu program kecergasan diadakan di Sydney Australia selama 25 jam. Ia dikenali sebagai The Longest Day anjuran Chief's Original Bootcamp (COBC) dan merupakan satu program kecergasan untuk orang awam yang dikendalikan oleh satu pasukan jurulatih bekas tentera elit Australia.

Hanya seramai 35 peserta sahaja daripada 52 peserta lelaki dan wanita dari seluruh dunia telah berjaya menamatkan cabaran tersebut. Salah seorang peserta yang berjaya ialah Daing Danielfitri, 27, dan ia merupakan satu-satunya peserta dari Malaysia. Apa yang menarik perhatian kita ialah tentang kejayaan 35 peserta tersebut termasuk Fitri.

Peserta dibekalkan dengan makanan yang terhad seperti kacang panggang, jagung, jeli dan sebotol air untuk selama 25 jam. Setelah berjaya menamatkan program tersebut Fikri berkata, "Saya masih ingat bahawa saya datang ke sini dengan penuh harapan. Mustahil untuk saya beralah selepas dua jam program bermula. Kesakitan tidak tertanggung peritnya tetapi saya tetap bertekad untuk meneruskan perjuangan sebaik sahaja doktor membalut pergelangan kaki saya yang terkehel akibat terjatuh semasa dalam program itu."  

Kita percaya pemilihan ke atas Fikri bukan dilakukan dengan sewenang-wenangnya tetapi berdasarkan kepada pencapaiannya yang cemerlang dari segi kekuatan fizikal. Tanpa kekuatan fizikal mungkin harapan untuk berjaya agak kecil tambah lagi melibatkan program yang sangat lasak. Akan tetapi bergantung kepada kekuatan fizikal sahaja masih lagi tidak mencukupi untuk memastikan kejayaan kerana ia harus diiringi dengan kekuatan mental. 

Kejayaan atau kegagalan akan memberi kesan sepanjang hayat kepada Fikri. Ia harus membuat pilihan sama ada ingin dikenang sebagai orang yang gagal atau orang yang berjaya. Tersalah langkah ia pasti akan menyesal buat selama-lamanya kerana program tersebut tidak akan ditawar lagi pada orang yang gagal. Dalam hal ini Fikri telah membuat keputusan yang tepat iaitu dengan berpegang kepada prinsip atau azimat iaitu mustahil untuknya berundur setelah bersusah payah datang dari jauh untuk menyertai program tersebut. 

Prinsip itulah disifatkan sebagai kekuatan mental yang ada pada Fikri dan 35 peserta lain yang berjaya. 

Berdasarkan kisah di atas kita dapat menjadikannya sebagai teladan iaitu betapa perlunya kita memiliki kekuatan mental selain fizikal atau kesihatan sekiranya kita ingin mencapai sesuatu dalam kehidupan kita terutamanya jika melibatkan sesuatu yang mencabar.

21. PENGGUNAAN KUASA

Kuasa bererti kekuatan mempengaruhi orang bagi mencapai apa yang kita inginkan. Manusia ingin memiliki kuasa kerana ingin memiliki kekuatan. Ramai orang percaya dengan memiliki kuasa boleh menyebabkan imej mereka naik dan dapat merubahkan sesuatu sesuai dengan kehendak mereka. Semakin tinggi kuasa bererti semakin tinggi imej mereka dan perubahan yang boleh dilaksanakan.

Kuasa terbahagi kepada dua iaitu kuasa baik dan kuasa jahat. Kuasa baik merupakan kuasa yang digunakan untuk merubah sesuatu berdasarkan kehendak dan kebaikan orang ramai. Kuasa jahat pula bertujuan memenuhi kehendak diri sendiri atau segelintir kecil manusia dan akan menyusahkan orang ramai.

Bagi pemilik kuasa, kadang-kadang mereka tidak dapat membezakan antara kuasa baik dan jahat. Mereka beranggapan apa yang mereka lakukan merupakan sesuatu yang baik dan disukai oleh orang ramai walhal apa yang sebenarnya terjadi ialah di sebaliknya iaitu ramai yang tidak suka kerana sangat menyusahkan mereka. 

Kedua-dua kuasa itu mempunyai ciri masing-masing. Ciri-ciri kuasa baik ialah menggunakan kuasa untuk kepentingan dan kesenangan orang lain. Manakala ciri-ciri kuasa jahat ialah menggunakan kuasa demi kepentingan diri sendiri dan menyusahkan orang ramai.

Kuasa baik atau jahat sering menggunakan perkataan demi. Contohnya seperti demi negara, demi rakyat, demi masyarakat, demi orang ramai, demi bangsa, demi penduduk, demi organisasi atau demi jabatan.

Setiap kuasa yang dimiliki tidak boleh bertahan dalam tempoh yang lama. Kuasa akan hilang apabila ia tidak lagi berada di tempat atau kedudukan yang menjadi sumber kekuasaan itu. 

Walaupun kuasanya sudah hilang namun ada satu perkara yang tidak boleh hilang daripadanya iaitu 'namanya'. Namanya akan menjadi baik sekiranya semasa berkuasa ia banyak mengamalkan kuasa baik dan sebaliknya namanya akan menjadi buruk seandainya ia banyak menggunakan kuasa jahat ketika berkuasa. Bak kata pepatah, 'manusia mati meninggalkan nama, harimau mati meniggalkan belang'.


20. DISIPLIN MEMBAWA KEJAYAAN

Manusia yang hidup tanpa cita-cita diibaratkan seperti kata pepatah, hidup segan mati tak mahu. Anda juga mempunyai cita-cita atau impian dan boleh jadi ianya kecil atau besar menggunung.

Pada 23 Jun 2012 saya bertemu kawan lama di restoran Papa Rich, Kuala Lumpur. Kali terakhir saya bertemu beliau ialah pada tahun 1984 atau kira-kira 28 tahun yang lalu. Beliau bekerja dengan Dewan Bandara Raya Kuala Lumpur dan kini memegang jawatan pengarah Bahagian Seni Taman. 

Semasa perbualan beliau menceritakan pelbagai pengalaman selama bekerja di situ. Antara perkara yang menarik perhatian saya ialah mengenai perniagaan di kalangan penjaja pasar malam di beberapa tempat sekitar Kuala Lumpur.

Katanya terdapat peniaga yang berjaya dan yang gagal. Bagi mereka yang berjaya, mereka bukan sahaja dapat meneruskan perniagaan dalam tempoh masa yang lama tetapi juga dapat mengembangkan perniagaan dari seorang penjaja kepada pemborong yang berjaya.

Apabila saya bertanya apakah punca utama yang menyebabkan setengahnya berjaya dan setengahnya gulung tikar. Beliau dengan penuh yakin menjawab bahawa disebabkan oleh faktor disiplin. 

"Jika kita mahu berjaya dalam perniagaan, kita perlu pastikan terlebih dahulu bahawa kita benar-benar merupakan orang yang berdisiplin. Jika belum maka kita hendaklah belajar dan berusaha mendisiplinkan diri kita sehinggalah kita boleh dikategorikan sebagai orang yang berdisiplin. Jarang saya bertemu dengan orang yang berjaya dalam perniagaan merupakan orang yang tidak berdisiplin." Katanya bersungguh-sungguh.

Demikianlah pandangan orang yang telah lama bertugas dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengenai disiplin dan kejayaan dalam perniagaan.

Disiplin tidak terbatas kepada perniagaan sahaja. Ia perlu diamalkan dalam semua kehidupan kita seperti menjaga kesihatan, pengurusan kewangan, pengurusan organisasi, pergaulan, politik dan ibadah.

Kita boleh merancang untuk mencapai sesuatu yang kita inginkan seperti menjadi pelajar terbaik, jutawan, ahli sukan, jurutera, profesor, doktor dan sebagainya namun andainya kita masih merupakan orang yang tidak berdiplin maka harapan untuk berjaya adalah begitu kecil atau harapan yang menggunung tinggallah harapan buat selama-lamanya.

Disiplin bermakna kita mematuhi ketetapan sama ada dalam bentuk hukum, undang-undang, peraturan, prosedur, garis panduan, petua atau prinsip. Contohnya jika anda merupakan seorang peniaga kecil atau pengusaha restoran membuat ketetapan untuk bangun pukul 5.00 pagi setiap hari kerana anda mendapat petua daripada orang yang telah berjaya dalam perniagaan bahawa untuk menjadi peniaga yang berjaya kita hendaklah lakukan amalan seperti itu.

Anda akan dikategorikan sebagai orang yang berdisiplin sekiranya anda sentiasa dapat melaksanakan ketetapan tersebut dan begitu juga di sebaliknya.

Saya percaya bahawa untuk menjadi seorang yang berjaya dalam apa jua bidang sekali pun adalah bergantung kepada banyak faktor dan salah satu yang utama ialah disiplin.