Sunday, 30 October 2016

3. SEMAK DIRI SETIAP HARI

Selalu kita mendengar nasihat daripada guru atau ustaz bahawa masa yang baik untuk cek atau muhasabah diri adalah sewaktu kita hendak tidur. Kalau anda boleh amalkan seperti apa yang disaran itu adalah baik tetapi tidak ramai orang yang mampu kerana untuk cek dalam waktu  dari mula anda bangun pada awal pagi sehinggalah waktu malam ketika anda hendak tidur merupakan masa yang panjang dan membosankan. Kadang sebaik sahaja anda memulakan muhasabah, mata anda pun mula mengantuk dan belum lagi sampai penghujung, anda sudah pun dibuai mimpi.

Supaya ia menjadi lebih praktikal dan berkesan anda harus cek diri anda sebanyak tiga kali dalam sehari. Masa pertama ialah pukul 6.00 pagi hingga 12.00 tengah hari; kedua ialah pada pukul 12.00 tengah hari hingga pulkul 6.00 petang; dan ketiga ialah pada pukul 6.00 petang hingga 11.00 malam. Setiap kali kali anda cek, tanyalah diri anda apa yang anda telah lakukan dalam tempoh tersebut. Adakah anda membuat sesuatu yang baik atau tak baik. Adakah anda bekerja betul-betul atau anda membuat kerja sambil lewa tau ponteng kerja. Adakah anda menunaikan solat atau tidak dan pelbagai pertanyaan yang boleh anda lakukan.

Sekiranya dalam sesuatu tempoh itu didapati anda telah melakukan perkara-perkara yang baik dan betul, anda hendaklah meneruskan perlakuan itu tetapi jika sebaliknya maka anda hendaklah berhenti dan berjanji atau bertaubat untuk tidak mengulanginya lagi.

Amalan memeriksa diri sendiri cukup baik untuk memperbaiki diri supaya kita sentiasa diberi perlindungan dan rahmat oleh Allah swt.

2. MENUDUH BOLEH MERUGIKAN

Kebanyakan manusia suka untuk mengata, mengumpat dan menuduh apabila berkumpul baik di kedai kopi, wakaf, rumah, pejabat atau dalam kereta. Jarang kita dengar mereka menceritakan tentang ilmu atau petua untuk menjadi manusia beriman dan bertaqwa.

Orang yang membawa cerita sensasi akan lebih diminati berbanding dengan orang yang mencerita tentang ilmu atau nasihat. Mereka merasakan seolah-olah kehilangan sesuatu dan tidak ada penyeri sekiranya pencerita sensasi itu tidak hadir. Lebih banyak cerita yang mengata dan menuduh lebih banyak tumpuan diberi dan lebih banyak gelak ketawa berlaku serta tak kering gusi dibuatnya.

Akan tetapi sedarkah anda bahawa kita berada dalam pesta dosa kecil dan dosa besar. Kita membuka keaiban orang lain. Kita membuat tuduhan tanpa bukti yang jelas dan berdasarkan andaian semata-mata. Kadangkala sampai di peringkat yang melampaui batas seperti mengatakan atau menuduh bahawa anak gadis si polan itu dan ini mungkin sudah tiada dara lagi berdasarkan andaiannya semata-mata.

Cuba anda bayangkan jika anda menjadi gadis itu atau keluarganya tentu anda juga tidak boleh menerima kenyata itu kerana anda tidak pernah melihatnya sendiri. Bahkan kalau anda melihatnya pun anda tidak boleh menceritakan kepada orang lain kerana Allah melarang kita daripdaa membuka keaiban seseorang kepada orang lain.

Jika kita benar-benar jujur dan berani lebih baik kita berjumpa seorang sama seorang dan memberi nasihat secara ikhlas kepada gadis tersebut.

Sesungguhnya lebih baik kita bercerita pasal kebaikan dan pedoman hidup supaya seseorang yang mendengar dapat memperbaiki dan meningkatkan tahap keimanan dan ketaqwaan mereka daripada mensia-siakan tenaga anda untuk mengata, mengumpat dan menuduh yang akhirnya bergelumangan dengan dosa kepada Allah dan manusia yang menjadi mangsa tuduhan yang berdasarkan andaian anda semata-mata.

Wednesday, 26 October 2016

1. PUNCA KEMARAHAN

Sifat marah pasti dimiliki oleh seseorang dan hanya berbeza dari segi darjahnya sahaja. Ada orang yang amat cepat marah, cepat marah dan lambat marah. Sifat tersebut bergantung kepada pengaruh keturunan dan budaya sesebuah masyarakat serta latar belakang pendidikannya.

Bukanlah kita tidak boleh marah tapi biarlah kerana rasional bukannya emosional. Contoh marah yang rasional ialah seperti memarahi seseorang kerana perbuatanya melakukan perkara yang tidak baik, misalnya melakukan maksiat, kejahatan, kezaliman, penganiayaan dan penindasan. Manakala marah yang emosional seperti menyentuh peribadi seseorang, keluarga atau keturunan, dendam, benci dan tiada fakta. Banyak punca menyebabkan seseorang itu menjadi marah dan di antaranya adalah seperti di bawah:


a) Jahil - jika kita tahu akibat kemarahan pasti kita akan berfikir banyak kali sebelum kita marah. Tahukah anda apabila kita marah maka seluruh sistem dan urat saraf akan menjadi tegang dan ia akan tertumpu pada otak kita. Akibatnya kita hilang tumpuan dan pedoman yang memungkinkan kita melakukan perkara yang tidak dingini dan agresif. Juga ia boleh menyebabkan darah naik ke otak sehingga boleh menyebabkan tekanan darah menjadi tinggi atau struk atau rebah. Oleh kerana jahil tentang kesan tersebut menyebabkan kita bersikap marah secara berterusan.


b) Ego - seseorang itu biasanya bersikap ego apabila ia mempunyai kuasa, kedudukan dan harta. Golongan ini hanya segan kepada mereka yang berkedudukan lebih tinggi daripada mereka. Jika mereka dikritik atau ditegur oleh golongan yang lebih tinggi, mereka akan menerima dengan hati yang terbuka dan berusaha untuk mengatsainya. Akan tetapi jika mereka dikritik oleh mereka yang berada di bawah daripada mereka maka golongan ini akan terus melenting dan sangat marah dengan kritikan tersebut. Jadi, keegoaan seseorang menyebabkan ia sangat mudah menjadi marah.


c) Benci - apabila benci kepada seseorang sudah tertanam menyebabkan sedikit sahaja kesilapan yang dilakukan ia akan terus menjadi marah. Sebaliknya jika ia tidak benci atau suka kepada seseorang maka apa sahaja yang dilakukannya walaupun merupakan satu kesalahan yang besar ia tetap tidak memarahinya.


d) Sentiasa Nak Menang - dalam kehidupan sudah pasti seseorang itu akan impikan kemenangan dalam apa jua perlumbaan kerana dengan kemenangan itu menjadikan dirinya puas dan hebat. Apabila ia kalah atau tidak dapat apa yang ia hajati ia akan menjadi kecewa dan marah. Ia tidak dapat menerima hakikat bahawa dalam kehidupan ini pasti ada menang kalah, pasang surut, turun naik dan jatuh bangun. Golongan seperti ini biasanya akan melakukan apa sahaja asalkan ia menang walaupun tepaksa melakukakan perkara yang tidak normal, bodek, mengampu, mengata, mengumpat, memfitnah dan memberi hadiah. Ia seharusnya sedar bahawa kemenangan yang paling baik ialah win-win situation atau semua pihak menang bukanya dirinya seorang. Golongan ini biasanya berpegang pada prinsip iaitu gembira bila menang dan marah bila kalah.


Imam Ghazali menyatakan beberapa faktor yang menjadi punca kemarahan iaitu:


e) Orang yang suka bergurau senda atau buat kelakar yang melampaui batas.


f) Orang yang bangga dengan dirinya sendiri atau sombong


g) Orang yang takjub atau merasa dirinya sangat hebat


h) Orang yang bercakap perkara yang sia-sia


i) Orang yang tamak pada harta dan pangkat


j) Orang yang khianat


k) Orang yang suka membuat fitnah


l) Orang yang suka bantah membantah dalam sesuatu perkara


m) Orang yang tidak dapat mengawal nafsu


n) Orang yang bersifat dengki


o) Orang yang bersikap irihati


Nabi Yahya dan Nabi Isa pernah berdialog berkenaan dengan kemarahan iaitu:


Yahya:   Apa yang paling berat?


Isa:       Kemarahan Allah.


Yahya:  Apa yang menyebabkan kemarahan Allah?


Isa:       Yakni jika kamu marah


Yahya:   Apakah yang melahirkan kemarahan dan menumbuhkannya?


Isa:       Takabur (sombong), merasa lebih mulia dan panas hati (panas baran).


Kadangkala sifat marah itu sukar dielak tetapi yang pentingnya ialah ia hendaklah dikawal, diurus, ditangani dan diatasi dengan segera. Kemarahan yang berterusan bukan sahaja akan merugi atau memberi kesan kepada diri sendiri bahkan juga kepada orang lain.


Nabi Muuhammad bersabda:


"Tidaklah orang yang kuat itu orang yang kuat membanting (mencampakkan sesuatu). Sesungguhnya orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai diri ketika sedang marah."


Cara Saidina Umar mengawal kemarahannya:


Dalam satu peperangan, seorang musuh telah meludah ke muka Umar ketika Umar hendak memenggal lehernya. Umar membuat keputusan untuk tidak memenggal kepala musuh itu kerana ia tidak mahu membunuh musuh bukan kerana agama tetapi disebabkan oleh kemarahannya akibat ludahan musuh itu.