Wednesday, 19 April 2017

31. TIDAK PUTUS ASA

Memiliki dan mengamalkan sifat yang tidak berputus asa bermakna anda sudah disifatkan sebagai orang yang berjaya.

Biasanya orang yang tidak mudah berputus asa akan sentiasa berhadapan dengan pelbagai halangan dan cabaran tetapi disebabkan oleh sikapnya yang tidak pernah mengenal putus asa akhirnya ia berjaya. Dia percaya dengan hanya menunggu beberapa langkah atau detik sahaja lagi kejayaan sudah berada di hadapan.

Alangkah ruginya jika kita berputus asa dengan menghentikan usaha sedangkan tanpa kita sedari bahawa kita sudah berjaya melakukannya sebanyak 90 peratus dan kejayaan sedang menanti anda hanyalah tinggal 10 peratus sahaja lagi. Akan tetapi disebabkan oleh sifat berputus asa akhirnya kita tidak berjaya dan menjadi orang yang rugi.

Untuk tidak berputus asa kita perlu mengamalkan sifat-sifat seperti sabar, yakin akan berjaya walau pun mengambil masa yang lama, berani menghadapi kegagalan berkali-kali, belajar melalui kegagalan lampau, percaya bahawa kejayaan atas kebenaran merupakan kejayaan yang sejati dan sentiasa mematuhi ajaran agama.

Antara tokoh terkenal yang berjaya hasil daripada sifat yang tidak berputus asa ialah Thomas Edison (1847-1931). Beliau berjaya mencipta mentol lampu setelah menempuh kegagalan melebihi 1000 kali.

Contoh kedua ialah Khalid Al Walid (592-642). Beliau merupakan panglima tentera kerajaan Islam yang berjaya mengalahkan pasukan tentera yang sangat digeruni oleh pihak lawan iaitu Byzantine dan Parsi dalam masa tiga tahun sahaja. Walau pun beliau pernah dilucutkan oleh Khalifah Omar sebagai ketua atau panglima namun Khalid tetap berjuang sebagai prajurit biasa tanpa berputus asa sehingga kemenangan sentiasa berpihak kepada pasukannya.

Apabila ditanya oleh sahabatnya kenapa beliau tidak menentang keputusan Khalifah Omar, beliau menjawab, “Aku berjuang kerana Allah, bukan kerana Omar”.

No comments:

Post a Comment