Thursday, 20 April 2017

35. MENCARI JALAN ATAU ALASAN

Pepatah Melayu mangatakan, "Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih."

Daya bermaksud jalan dan dalih bermakna alasan. Cuba anda ingat kembali tentang sikap diri anda sendiri pada masa yang lalu iaitu adakah anda tergolong dalam kumpulan orang yang suka mencari jalan atau alasan apabila melakukan sesuatu.

Sekiranya jawapan anda adalah sentiasa mencari jalan bererti anda harus mengekalkanya secara berterusan. Amalan ini sangat baik kerana ia merupakan ciri yang paling utama untuk anda menjadi seorang yang berjaya dan bahagia.

Orang yang suka mencari jalan akan sentiasa melakukan apa sahaja yang baik untuk memenuhi segala cita-cita atau matlamat atau janji yang telah ditetapkan. Setiap halangan atau masalah yang timbul akan dicari jalan untuk mengatasinya demi mencapai matlamat atau janji yang telah ditetapkan.

Berlainan pula dengan sikap orang yang suka mencari alasan. Ia sentiasa mencari pelbagai alasan apabila tidak berjaya mencapai sesuatu matlamat atau janji yang ditetapkan. Ia akan menjadikan alasan itu sebagai sesuatu yang boleh diterima oleh dirinya sendiri atau orang lain yang terlibat itu. Sikap seperti ini harus diubah dengan segera kerana tanpa disedari ia bukan sahaja akan menjadi penghalang utama untuk anda berjaya bahkan juga ditakuti anda akan menjadikannya sebagai amalan hidup.

Anda harus ingat bahawa tidak ada orang yang berjaya kerana bersikap mencari alasan tetapi sejarah telah membuktikan mereka yang berjaya adalah orang yang sentiasa mencari jalan untuk mencapai matlamat atau janji yang telah ditetapkan. 

No comments:

Post a Comment