Wednesday, 10 May 2017

43. KEJUJURAN KITA

Menjadi orang jujur ​​bererti anda memilih untuk bersikap tidak berbohong, mencuri, menipu atau memperdayakan. Apabila kita jujur, kita membina kekuatan peribadi dan membolehkan kita untuk menjadi insan yang disenangi Tuhan dan orang lain.

Pada awal kehidupan, kita mengetahui bahawa ketidakjujuran mendapat untung jangka pendek sahaja. Ia boleh menyelesaikan masalah dengan cepat dan boleh mecapai tujuan kita.

Ia lebih mudah untuk menyenangkan orang di sekeliling kita dan kita semua memiliki tabiat sama cuma darjahnya sahaja yang berbeza. Malangnya, keuntungan jangka pendek itu membuahkan kerugian dalam jangka panjang.

Amalan kehidupan yang jujur ​​memerlukan usaha berterusan terutamanya pada peringkat permulaan. Ia memerlukan niat untuk memilikinya dan langkah-langkah awal harus dilakukan.

Apabila ia mula mendapat momentum dalam hidup anda dan anda mula menyedari banyak manfaatnya, kejujuran akan menjadi lebih mudah dan mengembirakan untuk diamalkan.

Ada empat kebaikan utama apabila kita jujur.

1- Kejujuran menarik kejujuran. Persahabatan dengan rakan menjadi lebih akrab kerana mereka tertarik dan menghargai kejujuran anda. Mereka merasa bangga dapat mendekati dan berkawan dengan orang jujur. Kawan-kawan yang jujur akan mencari orang jujur untuk didampingi. Anda di kelilingi oleh orang-orang terbaik dan dipercayai oleh orang lain. Orang jujur memiliki tahap keyakinan dan ​​kepercayaan diri yang tinggi. Merubah sikap daripada jujur kepada tidak jujur bermakna menghilangkan kekuatan dan keyakinan diri sendiri.

2 - Meningkatkan tahap kesihatan anda. Kejujuran telah dikaitkan dengan impak yang boleh mengurangkan selsema, keletihan, kemurungan dan kecelaruan. Ketidakjujuran perlu dielakkan. Ketidakjujuran memberi kesan sebaliknya yang boleh mengurangkan tahap kesihatan anda. Sepatah perkataan yang tidak jujur seperti ya atau tidak dalam sesuatu pengakuan dengan pihak tertentu boleh memberi kesan ketidaktenangan bertahun-tahun lamanya ke atas diri anda.

3 - Hubungan lebih harmonis. Tanpa kejujuran kata-kata seperti "I love you" tidak ada asas bagi hubungan yang berkekalan atau menyeronokkan. Perhubungan hanya sementara dan tidak berkekalan setelah diketahui luahan itu sebenarnya tidak jujur. Kejujuran adalah suara untuk cinta yang membina kepercayaan. Tanpa kejujuran menjadi satu pembohongan dengan sendirinya menghasilkan perhubungan yang jelek. Perhubungan kasih, sayang dan cinta lebih harmonis melalui kejujuran kita tanpa mengira siapa seperti kekasih, suami isteri dan keluarga, saudara mara dan rakan.

4 - Dapat mengelakkan kekeliruan. Apabila orang tidak mengetahui kebenaran, mereka akan cuba meneka. Ketidakjujuran ​​tentang sesuatu boleh menyebabkan orang ramai cuba memikirkan apa sebenarnya yang anda tidak nyatakan itu. Ini boleh mewujudkan gossip, yang kemudiannya boleh memupuk lebih pembohongan dan penipuan. Akhir sekali boleh menyebabkan lebih ramai orang berasa terluka dan dikhianati apabila kebenaran akhirnya terbongkar. Semuanya ini boleh dielakkan jika kejujuran telah digunakan pada awal-awal lagi.

Perhubungan atau persahabatan terbaik adalah kejujuran anda. Ia mungkin sukar untuk dilafaz dan boleh menimbulkan konflik tetapi percayalah dalam jangka panjang kejujuran memberi cukup banyak manfaat kepada diri anda dan orang lain.

42. MENDEKATI TUHAN

Semakin kita mengenali Allah dan mendekati-Nya lama kelamaan terbit rasa kecintaan sehingga sentiasa mahu melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Jika kita menghabiskan seluruh hidup kita memikirkan sifat-Nya, kita tidak akan berasa bosan malah kehidupan menjadi lebih ceria. Allah yang bersifat Maha Kuasa, Maha Penyayang, Maha Adil dan Maha Pengampun.

Apabila kita mendekatkan diri kepadaNya dengan tulus, Allah pun akan dekat dengan kita dengan tulus juga.

Sebaliknya, kitaA patut mempertimbangkan langkah kita dengan teliti sebelum mahu merapatkan diri dengan manusia. Jika kita terlalu dekat dengan manusia, kita akhirnya dipermainkan oleh manusia sehingga boleh menghilangkan darjat kita sebagai insan Tuhan.

Mencintai Allah tidak wujud perasaan takut akan kehilangan sesuatu bahkan boleh bertambah lagi rahmat dan nikmat daripada-Nya. Berbeza dengan mendekati dan merapati manusia boleh menjadikan kita sentiasa khuatir dan takut akan kehilangan sesuatu yang dikawal oleh manusia yang kita dekati itu.

Kita cintakan Allah kerana Dia adalah abadi di dunia dan akhirat.

Tuesday, 9 May 2017

41. SAAT UNTUK BERUBAH

Kalau kita sudah berkeluarga dan mempunyai beberapa orang anak tidak ada siapa yang berani berkata bahawa kesemua anaknya itu, 100 peratus berpuashati dengan kita. 

Kita jangan marah kepada mereka. Tanyalah pada diri sendiri kenapa mereka marah dan tidak berpuashati kepada kita.

Biasanya kita akan menemui jawapan dalam dua aspek:

Aspek pertama, mereka tak puas hati kerana kita sering nasihatkan supaya rajin belajar, buat kerja rumah, mengemas rumah, jangan bergaduh dengan adik beradik, jangan tinggalkan solat, menghormati orang tua, jangan membazir, jangan ponteng sekolah, jangan mengumpat, jangan cepat marah dan perkara-perkara yang memberi kebaikan kepada mereka.

Aspek kedua, mereka marah dan tak puashati dengan kita kerana kita suruh mereka rajin tetapi kita malas, kita suruh mereka jangan ponteng sekolah tetapi kita sering tuang kerja, kita suruh mereka jangan menbazir tetapi kita banyak habiskan wang untuk perkara yang tidak berfaedah, kita suruh mereka adil tetapi kita selalu pilih kasih atau bulu, kita suruh mereka jaga amanah tetapi kita selalu terima wang haram.

Jika disebabkan aspek pertama, kita tidak perlu berubah tetapi teruskan kerana apabila kita sudah tiada atau mereka sudah berkeluarga, kita akan diingati dan dihormati.

Akan tetapi jika disebabkan aspek kedua, kita perlu berubah supaya anak-anak kita akan menghormati kita sama ada sewaktu kita masih ada atau sebaliknya.

bagaimana pula kalau di pejabat atau organisasi  mana? Jawapannya adalah sama sahaja di mana-mana pun.

40. JANGAN MENGELUH

Seorang pemuda memberitahu seorang dewasa bahawa dia memiliki harta yang sedikit dan rezeki yang diterimanya hanya mencukupi untuk dia meneruskan kehidupan bersama keluarganya. 

Katanya lagi, rezekinya tidak semurah rezeki kawan-kawanya yang lain walhal usaha yang dilakukannya tidak jauh beza dengan mereka. 

Kawannya memiliki kereta Honda Accord sedangkan dia cuma ada Perodua Viva. Kawanya ada rumah teres dua tingkat, dia ada satu tingkat. Kawannya ada handphone Galaxy Samsung Note 4, dia ada CSL. Kawannya ada kasut joging Nike, dia ada kasut Bata.

Dan macam-macam lagi perkara yang dibuat perbandingan dengan teman-temannya itu. Banyak sangat keluhannya,

Setelah sekian lama orang dewasa itu mendengar dengan teliti apa yang diluah oleh pemuda itu maka ia pun bersuara, 

"Adakah kamu dapat membuka mata ketika kamu bangun dari tidur pagi tadi?." 

"Ya, saya dapat membuka mata saya dan seterusnya boleh melihat." Jawab pemuda itu.

"Tahukah kamu, ada orang yang tidak dapat membuka mata dan menjadi buta ketika bangun dari tidur. Dia terus dibawa ke hospital untuk berubat tetapi masih tidak berubah. Dia sanggup membayar walaupun berjuta ringgit (dia merupakan seorang jutawan) namun matanya sudah tidak dapat dipulihkan lagi oleh mana-mana doktor."

"Kalau macam itu, nilai mata saya yang dapat melihat ini adalah lebih daripada sejuta ringgitlah pakcik. Wang banyak pun, tentunya tak ada guna jika kita tak dapat melihat." Pemuda itu menerima penjelasan orang dewasa itu dengan perasaan yang terharu.

Sebab itu kita tidak boleh mengeluh dan mengatakan kita tidak ada rezeki kerana Allah sentiasa memberi kita rezeki yang melimpah ruah cuma dalam bentuk yang berbeza sahaja iaitu ada dengan cara wang ringgit dan ada pula dengan cara lain seperti sihat, ketenangan, kewarasan dan sebagainya.

Sunday, 7 May 2017

39. CARA KITA DINILAI

Tanpa disedari bahawa anda sedang dinilai oleh orang lain. Orang itu mungkin seorang pemimpin, pengurus, ketua, anak buah, rakan, ibu bapa, suami, isteri atau keluarga anda. Bagaimanakah cara yang sering digunakan untuk menilai anda. Pada umumnya terdapat tiga cara.

Pertama, kompetensi. Antaranya seperti berpengetahuan, berkemahiran, berpelajaran, bijak dan cekap dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Kedua, nilai-nila moral. Anda hendaklah memiliki dan mengamalkan nilai-nilai moral yang tinggi seperti amanah, ikhlas, beriman, taqwa, integriti, jujur, tidak melakukan maksiat seperti berzina, judi atau minum arak.

Ketiga, perhubungan. Ia meliputi hubungan interpersonal antara anda dengan seseorang seperti sering bertanya khabar, aktif dalam aktiviti yang dianjurkan untuk masyarakat atau organisasi, sentiasa hadir apabila dijemput ke majlis kenduri, kesyukuran atau perkahwinan.

Jika anda ingin dipandang tinggi dan disenangi serta mudah dinaikkan pangkat (jika anda merupakan seorang pekerja) maka anda perlulah memiliki dan mengamalkan ketiga-tiga elemen di atas.p

38. TERUSKAN USAHA

Untuk mendapat sesuatu yang kita inginkan tidaklah mudah seperti yang kita sangka. Kita selalu nampak orang berjaya dalam bidang tertentu seperti menjadi usahawan dalam bidang menjual beras, kita pun nak berniaga beras supaya dapat berjaya seperti usahawan itu. Sebenarnya kalau kita mendampinginya barulah kita tahu bahawa sebelum berjaya ke tahap itu ia telah berusaha berterusan tanpa henti dan pernah mengalami beberapa kali kegagalan. Akan tetapi oleh kerana ingin berjaya, ia terus berusaha tanpa mengenal putus asa.

Semakin banyak kita gagal sebenarnya semakin banyak kita mendapat pengalaman. Jika kita gunakan pengalaman-pengalaman itu sudah pasti kejayaan yang bakal kita kecapi adalah tinggi atau besar.
Berapa banyak kegagalan yang kita alami janganlah kita melihat sebagai kelemahan tapi hendaklah dilihat sebagai kekuatan.
Umur pula bukan menjadi ukuran untuk berjaya asalkan kita berusaha dan terus berusaha. Sekarang kita tidak hairan lagi mendengar cerita bahawa mereka yang berumur 20 an sudah berjaya mendapat pendapatan bulanan melebihi RM30,000.00 bahkan ramai sudah bergelar jutawan.
Mereka berjaya bukan kerana nasib tetapi kerana mereka sanggup berusaha dan terus berusaha berbanding dengan mereka yang tidak berjaya adalah kerana mereka tidak mempunyai kekuatan untuk terus berusaha dan akhirnya mereka ditinggalkan oleh orang yang terus berusaha.