Tuesday, 9 May 2017

40. JANGAN MENGELUH

Seorang pemuda memberitahu seorang dewasa bahawa dia memiliki harta yang sedikit dan rezeki yang diterimanya hanya mencukupi untuk dia meneruskan kehidupan bersama keluarganya. 

Katanya lagi, rezekinya tidak semurah rezeki kawan-kawanya yang lain walhal usaha yang dilakukannya tidak jauh beza dengan mereka. 

Kawannya memiliki kereta Honda Accord sedangkan dia cuma ada Perodua Viva. Kawanya ada rumah teres dua tingkat, dia ada satu tingkat. Kawannya ada handphone Galaxy Samsung Note 4, dia ada CSL. Kawannya ada kasut joging Nike, dia ada kasut Bata.

Dan macam-macam lagi perkara yang dibuat perbandingan dengan teman-temannya itu. Banyak sangat keluhannya,

Setelah sekian lama orang dewasa itu mendengar dengan teliti apa yang diluah oleh pemuda itu maka ia pun bersuara, 

"Adakah kamu dapat membuka mata ketika kamu bangun dari tidur pagi tadi?." 

"Ya, saya dapat membuka mata saya dan seterusnya boleh melihat." Jawab pemuda itu.

"Tahukah kamu, ada orang yang tidak dapat membuka mata dan menjadi buta ketika bangun dari tidur. Dia terus dibawa ke hospital untuk berubat tetapi masih tidak berubah. Dia sanggup membayar walaupun berjuta ringgit (dia merupakan seorang jutawan) namun matanya sudah tidak dapat dipulihkan lagi oleh mana-mana doktor."

"Kalau macam itu, nilai mata saya yang dapat melihat ini adalah lebih daripada sejuta ringgitlah pakcik. Wang banyak pun, tentunya tak ada guna jika kita tak dapat melihat." Pemuda itu menerima penjelasan orang dewasa itu dengan perasaan yang terharu.

Sebab itu kita tidak boleh mengeluh dan mengatakan kita tidak ada rezeki kerana Allah sentiasa memberi kita rezeki yang melimpah ruah cuma dalam bentuk yang berbeza sahaja iaitu ada dengan cara wang ringgit dan ada pula dengan cara lain seperti sihat, ketenangan, kewarasan dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment